Judul : Budaya, seni Melayu yang terpinggir
link : Budaya, seni Melayu yang terpinggir
Budaya, seni Melayu yang terpinggir
DETIK DAILY |
Aidilfitri merupakan antara satu daripada perayaan dan sambutan yang besar dalam Islam. Masyarakat Melayu di Malaysia menyambutnya dalam budaya dan seni yang tersendiri. Setiap masyarakat Melayu tidak kira di Semenanjung atau di Sarawak dan Sabah mempunyai budaya dan seni yang tersendiri.
Selain daripada budaya balik kampung dan bermaafan terutama pada pagi raya pertama, banyak lagi yang boleh dilihat dan dibincangkan. Ini kerana tanpa disedari atau dengan sengaja kita membiarkan beberapa budaya tradisi masyarakat Melayu ini dilupakan dan diganti dengan mudah atas pelbagai alasan.
Dua perkara yang sering dikaitkan dengan hari raya ialah pakaian dan juadah. Ia seolah-olah mempunyai kod atau peraturan tersendiri yang mana tanpanya boleh dianggap tidak beraya. Secara amnya, ketika menjelang pagi hari raya, rata-rata masyarakat Melayu tradisional memilih untuk menggayakan baju tradisional iaitu baju Melayu, samping dan songkok bagi lelaki dan baju kurung atau kebaya berserta tudung atau selendang kepala bagi wanita.
Namun begitu pada zaman ini, pelbagai pilihan lain turut digayakan seperti jubah dan kurta untuk golongan lelaki dan jubah atau ‘dress’ bersama tudung dan selendang yang lebih dikenali sebagai ‘shawl’ untuk wanita.
Atas permintaan yang tinggi terhadap potongan pakaian untuk rekaan jubah, kurta dan shawl ini maka terjadi satu fenomena yang mengakibatkan persaingan rekaan pakaian berkenaan. Daripada potongan ringkas dan pilihan warna yang terhad, rekaan jubah dan kurta menawarkan rekaan serta warna pelbagai berbanding rekaan pakaian tradisional iaitu baju Melayu.
Begitu juga dengan jubah yang menjadi pilihan pakaian wanita untuk Aidilfitri baru-baru ini. Bagi kaum wanita, potongan jubah dikatakan lebih selesa dan ‘feminine’ berbanding baju kurung walaupun sebenarnya kebanyakan rekaan jubah yang ada pada hari ini tidak mengikut syarat pakaian Islam sama ada dari segi potongan dan juga material.
Kebanyakan jubah wanita mempunyai potongan mengikut bentuk badan dan jenis tekstil yang terlalu lembut, nipis dan melekat juga adalah tidak sesuai sebagai konsep asas pakaian masyarakat Melayu dan Islam.
Dalam tradisi rekaan pakaian baju Melayu dan baju kurung, baju adalah longgar dan menutup badan daripada pandangan orang lain supaya terpelihara rahsia atau aib serta maruah diri sendiri.
Perkara kedua yang semakin terpinggir ialah juadah hari raya. Beberapa juadah yang sinonim dengan kawasan di Malaysia ialah seperti ketupat palas merupakan juadah raya wajib di utara dan di pantai timur Semenanjung, lemang di Negeri Sembilan, kek lapis di Sarawak dan ketupat secara amnya di seluruh alam Melayu.
Selain daripada makanan utama ini beberapa hidangan kuih-muih seperti kuih bahulu, kuih bangkit, kuih koya, kuih buah rotan, kuih siput, dodol, wajik dan sebagainya semakin hilang daripada meja utama. Ia digantikan dengan almond London, mama carey, coklat chip, red velvet dan sebagainya.
Fenomena ini amat menarik kerana masyarakat Melayu telah menjelmakan pakaian dan juadah hari raya yang baharu. Ia evolusi daripada gabungan pengaruh yang dikenali sebagai gaya hidup Islamik dan moden. Namun yang mendukacitakan ialah warisan tradisi semakin pudar dek kerana penggunaan yang semakin kurang. Tanpa penggunaan, kemahiran membuat atau menghasilkan juga makin hilang.
Demikianlah Artikel Budaya, seni Melayu yang terpinggir
Sekianlah artikel Budaya, seni Melayu yang terpinggir kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Anda sekarang membaca artikel Budaya, seni Melayu yang terpinggir dengan alamat link https://beritaterkini333.blogspot.com/2017/07/budaya-seni-melayu-yang-terpinggir.html