Judul : Haji tanpa visa (3)
link : Haji tanpa visa (3)
Haji tanpa visa (3)
Artikel terdahulu :
Haji tanpa visa (1)
Haji tanpa visa (2)
Kami tiba di asrama Indonesia sebelum temgah malam. Sudah dipenuhi jemaah. Diberitahu, semua jemaah lelaki dalam bas kami berkongsi satu bilik. Rasanya ada dalam 30 orang lelaki.
Saya bayangkan tentu bilik itu sebesar dormitori hotel sekolah dahulu. Siap dengan katil dua tingkat.
Sebaik masuk ke bilik yang diperuntukkan kepada kami, saya terkasima.
Bilik itu kosong. Bukan sahaja kosong dan kecil untuk memuatkan seramai 30 orang.
Mungkin paling ramai dalam 10 orang. Apabila diletakkan semua beg (dan beg plastik saya), sudah separuh dipenuhi.
Ada sebuah tandas dan bilik mandi sahaja.
Saya duduk keletihan. Nasib baik sudah mandi dan solat. Mahu tidur sahaja. Tetapi ruang sebesar itu, kalau tidur berdiri pun belum tentu muat. Ada yang sudah berbaring kerana keletihan.
Perut pun kelaparan. Tidak pasti ada makanan disediakan kerana suasana hingar bingar dalam asrama. Entah berapa ramai jemaah dalam bangunan itu.
Mahu juga mencari makanan. Tetapi keletihan untuk keluar dari asrama.
Sepuluh jam perjalanan dari Riyadh. Lebih kurang sama penerbangan Kuala Lumpur ke Jeddah. Naik bas yang kerusinya bukan seperti bas ekspres biasa. Tidur pun tidak selesa.
Semua itu bukan masalah besar kerana telah melepasi sekatan jalanraya. Sudah berada di tanah suci dan hanya dua hari lagi wukuf.
Memandang ke langit
Sepanjang perjalanan, ada kala terlelap. Pemandu dari sebuah negara Arab itu seakan mahu berlumbaan, mengejar masa. Dia telah biasa dengan keadaan jalanraya. Cekap juga memandu walau selalu kecemasan dengan cara pemanduan F1.
Sambil duduk keletihan dalam kesibukan jemaah ke hulur ke hilir, saya berfikir sendirian. Bolehkah tidur dalam bilik kecil dan sempit. Atau saya cari tempat penginapan lain.
Dalam berfikir, teringat yang ternampak asrama itu ada bumbung terbuka.
Saya ambil beg plastik dan bergerak mencari tangga ke atas bumbung. Koridor dipenuhi jemaah. Bising. Sibuk seperti pasar.
Kosong. Bumbung itu lapang. Kosong. Ada sebuah bilik air dengan air kolah. Alhamdulilah .
Udara malam terasa menyegarkan. Lembut menyapa tubuh yang keletihan. Lega. Segera saya mengambil tempat di tengah-tengah bumbung yang lapang, kosong dan terbuka. Seakan lirik lagu P Ramlee, 'dunia ini ana yang punya!"
Berbaring memandang ke langit.
Tiada tilam. Tiada bantal. Tiada selimut. Hanya langit gelap dengan bintang-bintang yang kejauhan.
Mengimbau perjalanan haji tanpa visa. Dari detik ke pejabat kementerian haji di Riyadh. Kesyukuran dalam terus terngiang kata-kata, "Pergilah tetamu Allah, pergilah, Allah menjaga keselamatan perjalanan kamu!"
Saya lantas terlelap.
Tiba-tiba saya bangkit.
Dunia lain
Melihat keliling. Rasa terkejut. Bak kata orang, terkejut beruk.
Rasanya baharu dua jam saya tertidur. Baru melepasi tengah malam.
Suasana yang seakan dalam mimpi. Tiba-tiba saya dikelilingi kain-kain terentang.
Ada tali-tali merentas dan kain-kain disangkut. Seperti kain selimut bersidaian. Seakan bilik-bilik.
Saya bangun.
Perlahan menjenguk. Bimbang. Takut juga, Tidak mungkin tiba-tiba berada di dunia lain.
Setiap inci lantai bumbung asrama itu dipenuhi dengan jemaah haji wanita Indonesia yang nyenyak tidur. Mungkin seperti saya, keletihan setelah mengharung lebih 10 jam perjalanan.
Saya tidak pasti apa yang harus dilakukan. Pertama yang difikirkan ialah untuk ke bilik air.
Segera mencapai beg plastik, saya perlahan-lahan bergerak. Menguak kain-kain. Meninjau lorong untuk melangkah ke bilik air. Hati-hati melangkah. Takut kalau terpijak sesiapa.
Akhirnya saya tiba dipintu bilik air yang tidak tertutup.
Cuba mengunci. Rosak pulak. Saya cepat-cepat membuang air dan mandi dengan air kolah.
Tiba-tiba ada ketukan di pintu.
"Saya sedang mandi!"
Jawab saya yang nasib ada kain pelikat sebagai basahan.
"Cepat bapak, mahu guna bilik air!"
Segera saya memakai baju dan membawa beg plastik keluar bilik air. Sudah ada beberapa orang menanti. Ada bawa baju untuk dibasuh.
Nasib saya bangun cepat dan mandi.
Sekali lagi mengharung 'lautan' jemaah haji wanita Indonesia yang tidur lena dengan pelbagai gaya. Ada terlanggar. Ada tersentuh. Berjalan seperti pencuri.
Akhirnya tiba ke tangga turun.
Saya menjengah bilik asal. Bukan sahaja gelap, tetapi seperti sardin.
Tidak pasti apa yang saya harus lakukan. Sudah tidak boleh tidur.
Saya keluar dari kawasan asrama. Masih ramai jemaah yang baru tiba. Keadaan sibuk.
Kelaparan pun ada.
Tilam di Masjidil Haram
Tiba-tiba timbul idea. Mungkin saya boleh sahaja tidur di Masjidil Haram.
Bertanya kepada salah seorang petugas di asrama, berapa jauh dan bagaimana mahu jalan kaki ke Masjidil Haram.
Dia pun menerangkan.
Dengan beg plastik, saya berjalan perlahan ke arah Baitulmuqadis. Saya ingat melalui Azaziyah. Memang jemaah haji di mana-mana. Sibuk. Meriah. Pelbagai bangsa.
Singgah di sebuah supermarket dan mencari makanan.
Kemudian meneruskan jalan kaki ke Masjidil Haram. Katanya dalam sejam boleh sampai. Ada ramai juga yang sama berjalan. Santai.
Sepanjang jalan, masih sahaja terasa keletihan. Tetapi semangat terus membakar. Terbayang untuk berbaring dalam Masjidil Haram. Awal pagi, mungkin tidak ramai orang.
Selepas terowong, saya akhirnya tiba di Masjidil Haram.
Solat, tawaf dan turun kebawah lapangan mencari ruang untuk berbaring sebelum subuh. Dalam dua jam masih ada masa.
Sewaktu berligaran, ternampak ada ramai juga bawa tilam. Tidak pasti bagaimana mereka boleh bawa tilam masuk.
Atau mungkin imaginasi saya yang mengantuk dan letih.
Ada seorang lelaki tua yang sedang nyenyak tidur atas tilam. Nampak gebu tilam itu. Perlahan saya bergerak ke arahnya. Duduk sebelah dan cuba meletak kepala di hujung tilam.
Membayangkan empuknya tilam sebagai bantal, hanya untuk mengalas kepala. Cukuplah.
Sebaik saya meletakkan kepala, sekilas itu juga, lelaki itu menarik tilamnya.
Berdebuk, kepala saya jatuh atas lantai Masjidil Haram.
Terfana seketika. Sempat mengalih pandangan kepada lelaki itu.
Saya tersenyum. Alhamdulilah. Tentu bukan kebetulan. Adalah sesuatu untuk saya fikirkan kenapa lelaki itu tidak mahu berkongsi walau hujung tilamnya dengan saya.
Terus sahaja berbaring. Dan kemudian terlena.
MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.
Demikianlah Artikel Haji tanpa visa (3)
Sekianlah artikel Haji tanpa visa (3) kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Anda sekarang membaca artikel Haji tanpa visa (3) dengan alamat link https://beritaterkini333.blogspot.com/2017/09/haji-tanpa-visa-3.html