Judul : Mengintai tabir 2018, apa sedang menanti kita
link : Mengintai tabir 2018, apa sedang menanti kita
Mengintai tabir 2018, apa sedang menanti kita
OLEH NAZLI IBRAHIMTinggal beberapa hari sahaja lagi kita akan melangkah ke tahun baru 2018. Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, sudah pasti tahun 2018 turut menjanjikan warna-warni suka dan duka bermacam cabaran yang sedang menanti.
Sempena melangkah ke tahun baru, pembaca akan dibawa untuk mengintai beberapa peristiwa penting yang akan berlaku, pada tahun 2018.
Politik: Debaran PRU-14
Tahun 2018 dianggap sebagai tahun yang amat penting bagi menentukan masa depan Malaysia. Selepas 2017 berlalu tanpa pembubaran Parlimen, maka tidak syak lagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan diadakan tahun depan.
Ketika ini, khabar angin semakin bertiup kencang PRU-14 bakal diadakan antara Mac hingga Mei 2018. Malah, ada juga yang meramalkan tarikh lebih spesifik lagi iaitu antara 16 Mac hingga 24 Mac ekoran cuti sekolah pertengahan penggal pertama berlangsung, sekali gus masa paling sesuai pilihan raya diadakan.
Jangkaan ini juga berdasarkan beberapa faktor lain seperti faktor mandat Parlimen ke-13 yang ada pada hari ini bakal berakhir 24 Jun 2018.
Jika tidak dibubarkan, maka Parlimen akan terbubar secara automatik bagi memberi laluan untuk PRU-14 diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran berkenaan.
Faktor lain yang mungkin menjadi perkiraan bagi menentukan tarikh PRU-14 adalah bulan Ramadhan yang jatuh, pada 16 Mei nanti. SPR dikatakan hampir pasti cuba mengelakkan PRU berlangsung, pada bulan puasa.
Pembebasan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim nanti turut dianggap sebagai faktor mempengaruhi tarikh pembubaran Parlimen.
Sesetengah pihak percaya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memilih untuk mengadakan pilihan raya ketika Anwar masih di dalam penjara bagi menghalangnya menyertai kempen menentang Barisan Nasional (BN) apabila gelanggang dibuka nanti.
Aura yang ada pada Anwar bukan sahaja mampu memberi impak kepada kempen Pakatan Harapan sekiranya PRU-14 diadakan selepas pembebasan beliau, malahan mampu menyatukan kem-kem dalam Pakatan Harapan.
Bagaimanapun, SPR perlu menyelesaikan bantahan Kerajaan Negeri Selangor di mahkamah terlebih dahulu bagi memastikan mereka memiliki kelebihan ke atas persempadanan baru ketika gelanggang PRU-14 dibuka nanti.
Dalam aspek lain, berbeza dengan lima PRU iaitu PRU-9 hingga ke PRU-13 lalu, PRU kali ini bakal menampilkan senario berbeza membabitkan pertarungan tiga penjuru dikatakan mampu melemahkan sokongan kepada pembangkang.
Namun, benarkah senario politik hari ini bakal memecahkan undi pembangkang? Atau adakah ini cuma satu ‘master plan’ yang sedang direncanakan dengan cermat?
Walaupun pertandingan tiga penjuru banyak kali berlaku sebelum Anwar dipecat daripada Umno lagi yang menyaksikan pertembungan sesama sendiri antara PAS, DAP dan PSRM di pihak pembangkang dan BN di pihak kerajaan, namun banyak pihak terlepas pandang perbezaan tiga penjuru kali ini.
Pembaca tidak perlu menjadi pakar penganalisis politik untuk melihat perbezaan tersembunyi ini.
Selain itu, rakyat tentunya ternanti-nanti tindakan-tindakan susulan yang bakal diambil Pakatan Harapan sekiranya mereka menang PRU-14.
Misalnya, langkah menghadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri kepada 10 tahun, memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan lain-lain yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya nanti.
Selain itu, paling menarik untuk disaksikan, bagaimanakah nasib riwayat politik Najib sekiranya BN tewas dalam PRU-14 nanti?
Adakah beliau mampu mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden Umno atau adakah beliau dihumban dan dikecam oleh ahlinya sendiri akibat tindak tanduknya yang banyak melemahkan Umno, hari ini.
Paling utama, adakah Najib terselamat daripada diheret ke mahkamah di atas banyak tuduhan skandal yang dilemparkan kepada beliau ketika ini.
Anwar dibebaskan
Selepas tiga tahun empat bulan merengkok dalam Penjara Sungai Buloh, Anwar bakal dibebaskan, pada 10 Jun nanti.
Anwar mula dipenjarakan pada 10 Febuari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes fitnah II.
Pemilihan parti
Pemilihan barisan kepimpinan baru beberapa parti juga bakal berlangsung pada 2018. Antaranya Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan parti Umno.
Apa yang menarik untuk disaksikan nanti, adakah pemilihan kali ini adalah pemilihan julung kalinya diadakan selepas Umno memegang status sebagai parti pembangkang.
Jika ini berlaku, pemilihan kali sudah tentu tidak lagi sama seperti tahun sebelumnya apabila tiadanya kuasa, dana kerajaan yang mengalir masuk dan kontrak kerajaan untuk ditawarkan kepada perwakilan yang mengundi.
Seperti yang dinyatakan di atas tadi, keadaan ini sudah pastinya menyebabkan kedudukan Najib bagaikan telur di hujung tanduk.
Sebelum ini bukanlah satu rahsia lagi, elemen kuasa dan wang adalah faktor penting membolehkan pucuk pimpinan Umno mengawal tindak tanduk pemimpin mereka, sekali gus memberi persepsi adanya kesatuan di dalam Umno.
Realitinya, tanpa kedua-dua elemen itu, Umno bakal berhadapan kesukaran untuk menyatukan partinya, lebih-lebih lagi kebanyakan pemimpin mereka sekian lama dibiasakan dengan sogokkan wang ringgit dan kedudukan bagi memastikan ‘kesatuan’ palsu ini berkekalan.
Selain pemilihan Umno, turut menarik untuk disaksikan nanti adalah pemilihan KEADILAN.
Persoalannya, adakah pemilihan kali ini diadakan dalam suasana mereka sebagai salah sebuah parti yang berkuasa di Putrajaya.
Ekonomi 2018
Seperti yang diperakui oleh mana-mana pakar ekonomi, kestabilan politik turut memberi kesan terhadap kestabilanekonomi sesebuah negara.
Seperti dinyatakan pada awal rencana tadi, kemungkinan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran di Putrajaya dijangka mampu mempengaruhi ekonomi negara.
Bagaimanapun, hanya dengan barisan kepimpinan negara yang betul dengan tindakan yang betul sahaja mampu membawa negara ini ke landasan yang diinginkan.
Paling tidak, barisan kepimpinan baru ini haruslah berkeupayaan mengurangkan tekanan kos sara dihadapi rakyat dan meyakinkan masyarakat perdagangan antarabangsa negara ini adalah sebuah destinasi yang stabil dan selamat dalam semua aspek.
Antara paling utama adalah bagaimana kerajaan baru itu menguruskan hutang negara tinggalan Umno-BN yang dianggarkan mencecah RM1 trilion.
Tidak boleh tidak, kerajaan masa hadapan itu wajar mengambil langkah drastik dengan merancakkan lagi sumber pendapatan negara, menghentikan pembaziran dan mengurangkan kebergantungan negara kepada kuasa ekonomi dunia seperti China misalnya.
Pada masa ini, Kerajaan Selangor di bawah kepimpinan Menteri Besarnya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dilihat sebagai model terbaik dalam menguruskan ekonomi negara.
Manakala dalam sektor hartanah pula, pakar ekonomi meramalkan harga pasaran hartanah berharga sederhana dan mewah pada 2018 akan merosot akibat lebihan hartanah berada di pasaran yang tidak terjual.
Kesannya akan lebih dirasai bagi hartanah kategori komersial apabila lebih banyak unit kategori terbabit siap pada tahun 2018 nanti.
Pemaju juga akan kehilangan pembiayaan untuk memulakan projek baru jika tidak banyak rumah yang boleh dijual.
Selain pemaju, keadaan ini turut menyukarkan pemilik hartanah menjual kembali hartanah masing-masing.
Acara sukan dinantikan 2018
Sementara itu dalam arena sukan pula, pasti menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan pada 2018 nanti adalah Piala Asian Football Confederation atau AFC B-23 di China pada 9 hingga 27 Januari dengan menyaksikan buat kali pertama di bawah Presiden FAM yang baru, pasukan bawah 23 tahun negara layak ke pusingan akhir pada kejohanan ini.
Malah, lebih membanggakan apabila pasukan bawah 19 tahun negara turut layak ke pusingan akhir Kejuaraan Piala Asia AFC B-19 2018 di Indonesia pada 18 Oktober hingga 4 November, manakala pasukan bawah 16 tahun pula bakal beraksi di pusingan akhir Piala Asia AFC B16 2018 pada September di Malaysia selaku tuan rumah.
Kejayaan pasukan bawah 23, bawah 19 dan bawah 16 ini dicapai ketika pasukan senior Harimau Malaya bukan sahaja gagal layak ke Piala Asia, malahan masih bergelut memperbaiki ranking FIFA.
Sementara itu tahun 2018 juga menyaksikan Juara Liga Super Malaysia empat kali berturut, kelab Johor Darul Takzim sekali lagi mencuba nasib untuk menjadi kelab tempatan pertama berjaya melayakkan diri pusingan akhir kejuaraan tertinggi Asia, Kejuaraan Liga Juara-juara AFC (ACL).
Pasukan Harimau Selatan yang pernah menjuarai Piala AFC pada 2015 itu bakal menentang pasukan gergasi Thailand, Muangthong United pada 23 Januari nanti pada perlawanan Kelayakan Pusingan Kedua ACL 2018.
Selain kejohanan bola sepak yang membabitkan pasukan negara, turut dinantikan rakyat Malaysia nanti, Piala Thomas 2018 di Bangkok, Thailand, pada 20 hingga 27 Mei.
Selepas kempunan bergelar juara pada kejohanan 2016, rakyat Malaysia sekali lagi meletakkan harapan tinggi ke atas skuad negara untuk menjuarainya buat kali keenam.
Kali terakhir Malaysia bergelar juara pada Kejohanan Piala Thomas adalah pada 1992 ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah kejohanan itu.
Bagaimanapun, persoalan yang berlegar di fikiran peminat badminton tanah air, adakah jaguh perseorang negara, Datuk Lee Chong Wei masih berada dalam skuad itu nanti.
Sementara itu, acara temasya sukan kedua terbesar dunia selepas Sukan Olimpik iaitu temasya Sukan Komanwel pula akan membuka tirainya, pada 4 April dan berakhir 15 April.
Temasya kali ke-21 atau Gold Coast 2018 XXI Commonwelath Games itu akan dilangsungkan di Queensland, Australia dengan membabitkan penyertaan 70 negara bekas jajahan British termasuk Malaysia.
Selain pertandingan membabitkan pasukan Malaysia, paling ditunggu-tunggu sudah semestinya Piala Dunia FIFA di Rusia yang bermula, pada 14 Jun nanti.
Sepak mula kejohanan kali ini diadakan ketika umat Islam sedang sibuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri, di penghujung bulan Ramadan.
Kali terakhir Piala Dunia dijalankan pada bulan puasa adalah 31 tahun lalu iaitu Piala Dunia 1986 di Mexico.
Pada kejohanan kali ini, juara bertahan, Jerman ditempatkan dalam kumpulan A bersama Arab Saudi, Mesir dan Uruguay.
Jerman akan memulakan kempen menentang wakil Asia iaitu Arab Saudi dalam perlawanan pembukaan.
Selain Arab Saudi, wakil Asia lain pada kejohanan kali ini adalah Australia, Arab Saudi, Korea Selatan, Iran dan Jepun.
Demikianlah serba sedikit ringkasan peristiwa bakal kita hadapi sepanjang 2018 nanti. Apapun cabarannya, tidak kira politik, ekonomi, sukan dan apa jua, sebenarnya apa yang paling penting adalah bagaimana kita laluinya.
Justeru, rakyat perlu bersatu kerana hanya dengan perpaduan dan pilihan yang betul sahaja kunci utama kejayaan negara ini, pada 2018 nanti.
Demikianlah Artikel Mengintai tabir 2018, apa sedang menanti kita
Sekianlah artikel Mengintai tabir 2018, apa sedang menanti kita kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Anda sekarang membaca artikel Mengintai tabir 2018, apa sedang menanti kita dengan alamat link https://beritaterkini333.blogspot.com/2017/12/mengintai-tabir-2018-apa-sedang-menanti.html